Oct 19, 2025 - FASSelangor FC mendahului perlawanan Suku Akhir pertama Piala FA 2025/26 selepas menewaskan Negeri Sembilan FC dengan keputusan 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Perlawanan bermula dengan jaringan pembukaan Faisal Halim pada minit ke-34 daripada hasil hantaran Zach Clough. Dua minit selepas separuh masa kedua bermula, hadangan Azri Ghani daripada percubaan Alvin Fortes lantun di hadapan Chrigor Moraes dan terus ledak masuk gol kedua Merah Kuning. Zach Clough kemudian menambah gol Gergasi Merah pada minit ke-56 melalui tandukan selepas gerakan bijak melibatkan Faisal Halim dan Alvin Fortes. Beraksi dengan jersi Away berwarna hijau yang baru sahaja dilancarkan pada 17 Oktober yang lalu, Faisal Halim menjaringkan gol terakhir perlawanan #NSEFC pada minit ke-63 selepas menerima hantaran cantik daripada Kevin Deeromram. Kemenangan tanpa bolos ini menunjukkan persembahan berpasukan yang amat menakjubkan daripada para pemain, sekaligus meletakkan Selangor FC dalam kedudukan baik menjelang aksi timbal balik.
Menurut Christophe Gamel, Ketua Jurulatih Selangor FC, gembira dengan persembahan pemain dan mengharapkan aksi yang sama dalam perlawanan timbal balik.
”Saya gembira tetapi fokus saya lebih kepada kami tidak bolos, dan para pemain menunjukkan semangat untuk membuktikan bahawa kami boleh menjaringkan gol. Saya sedia kala tahu bahawa bahagian serangan kita sudah cukup kuat. Kelemahan pasukan adalah lebih kepada bahagian pertahanan, tetapi malam ini mereka menunjukkan peningkatan, dan secara keseluruhan para pemain telah berikan persembahan yang terbaik. Saya juga yakin mereka mahu buktikan bahawa walaupun perlawanan sebelum ini kalah, kita tak akan benarkan perkara tersebut akan berlaku sekali lagi. Dalam masa yang sama, saya rasa semangat juang mereka menunjukkan bahawa mereka benar-benar mahukan kemenangan semalam,” puji Gamel.
“Dalam masa yang singkat, saya telah bersama mereka untuk lima perlawanan. Disebabkan itu, saya perlu lakukan banyak pertukaran. Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas setiap pertukaran yang dilakukan. Jadi, dalam perlawanan timbal balik nanti, kita perlu lakukan perkara yang sama jika kita mahu mara ke separuh akhir,” tegas Gamel sebelum tamat temubual.
Seterusnya, Selangor FC akan terbang ke Indonesia bagi perlawanan Kumpulan G ACLTWO 2025/26 menentang Persib Bandung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api.
Pihak pengurusan Selangor FC berterima kasih kepada para penyokong yang hadir ke Paroi bagi memberi sokongan kepada pasukan. Tanpa anda, semangat pasukan tidak akan membara seperti semalam.
Kesebelasan Utama:- Kalamullah Al-Hafiz (GK), Richmond Ankrah, Kevin Deeromram, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Alvin Fortes, Zikri Khalili, Zach Clough, Syahir Bashah, Sharul Nazeem, Chrigor Moraes
Pertukaran: 66’ Noor Al Rawabdeh > Zach Clough, Izwan Yuslan > Faisal Halim, 75’ Harry Danish > Alvin Fortes, 77’ Willian Lira > Chrigor Moraes, Haiqal Lau > Nooa Laine.
Demi Kebanggaan!